Semuanya bermula
hanya kerana contengan
berbaur semangat reformasi
kanak-kanak itu menjadi mangsa
keganasan sebuah rejim
apakah dosa mereka
sehingga diseksa sehingga
menemui Penciptanya
mereka tidak tahu
mereka tidak mengerti
realiti dalam utopia khayalan itu

Pabila kaum ibu bangun
menuntut kepulangan mereka
Alawiyyin pula bermain wayang
mahukan wanita keluarga mangsa
sebagai isteri lelaki mereka
apakah begitu hina
maruah seorang wanita
apakah terlalu murah
nilai sebuah maruah

Saat itulah
revolusi rakyat tercetus
menyahut panggilan suci
tanpa mengira bangsa dan agama
muda mahupun tua
lelaki mahupun wanita
semua bangun penuh gagah
menuntut sebuah keadilan

Bashar
di manakah keperimanusiaanmu?
apakah begitu hina wargamu
disembelih seperti ternakan
kau lantang bersuara
kau sentiasa beralasan
menghapuskan ombak keganasan
siapa sebenarnya pengganas?
tentera bersenjata lengkap
atau warga biasa
bersenjatakan batu dan kayu?

Bashar
kau sentiasa mendabik dada
kau masih disanjung
tapi apalah harga
sebuah penyanjungan itu
jika dibandingkan
dengan jumlah darah
tumpah mengalir
di bumi anbia ini

Bashar
kau sentiasa angkuh
kemenangan di tanganmu
namun dengarkanlah laungan ini
sesungguhnya Allah bersama
golongan yang benar
sesungguhnya doa orang teraniaya
sentiasa dimakbulkan Ilahi
percayalah akan janji-Nya
janji-Nya sentiasa ditepati..