1.Hendaklah berzikir ketika berada di pasar. Rasulullah s.a.w pernah bersabda,”Barangsiapa yang masuk ke pasar lalu membaca,’Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah,tiada sekutu bagi-Nya,milik-Nyalah kerajaan dan kepunyaan-Nyalah segala pujian,Dia yang menghidupkan dan mematikan,dan Dia Maha Hidup tidak akan mati; di tangan-Nyalah segala kebaikan, dan Dia Maha Kuasa ke atas segala sesuatu,maka Allah mencatat sejuta kebajikan kepadanya dan menghapus sejuta dosa darinya dan Dia tinggikan baginya sejuta darjat dan Dia bangunkan sebuah istana dalam syurga.” (Riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

2.Tidak melaungkan suara dengan nyaring sehingga mencetuskan perdebatan dan pergaduhan. Dalam satu hadis,Imam Bukhari ada menyebut antara ciri-ciri keperibadian mulia Rasulullah s.a.w ialah tidak suka berteriak di pasar,tidak membalas keburukan dengan keburukan dan bersifat pemaaf.

3.Menjaga adab berurus niaga dengan memenuhi etika akad dan janji antara dua belah pihak (pembeli dan penjual). Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Maidah,ayat 1 mafhumnya,”Wahai orang-orang yang beriman,penuhilah akad-akad itu…”

4.Bersikap ramah dan memudahkan urusan jual beli. Rasulullah bersabda,”Allah menunjukkan belas kasihan kepada hamba yang ramah apabila menjual,ramah apabila membeli dan memberikan keputusan.” (Riwayat Bukhari)

5.Jujur,terbuka dan tidak menyembunyikan kecacatan barang jualan. Rasulullah s.a.w bersabda,”Seorang Muslim itu adalah saudara Muslim yang lain,maka tidak halal bagi seorang Muslim membeli dari saudaranya suatu pembelian yang ada kecacatan kecuali telah dijelaskan terlebih dahulu.” (Riwayat Ahmad dan disahihkan oleh al-Albani)

6.Hindarilah penipuan,ketidakjujuran dan berlebihan-lebihan ketika mencari keuntungan. Pada suatu hari,Rasulullah s.a.w pernah menjumpai sebekas makanan lalu baginda memasukkan tangannya ke dalam makanan tersebut dan jari-jemarinya basah. Lalu baginda bertanya,”Apakah ini,wahai si pemilik makanan?” Pemilik makanan itu menjawab,”Terkena hujan,wahai Rasulullah.” Baginda seraya bersabda,”Mengapa bahagian yang basah ini tidak kamu letakkan pada tempat teratas agar boleh dilihat oleh manusia? Barangsiapa yang curang terhadap kami maka dia bukan dari golongan kami.” (Riwayat Muslim)

7.Menghindari promosi-promosi palsu bertujuan menarik perhatian pembeli dan mendorongnya untuk membeli kerana Rasulullah s.a.w menegah sama sekali sebarang promosi palsu.

8.Tundukkan pandangan anda dari wanita dan hindari percampuran antara lelaki dan wanita. Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nur,ayat 30-31 mafhumnya,”Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.’Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya…”

Sumber : Majalah i