Sejak kebelakangan ini,entah mengapa silapnya,kala pengkarya seni sibuk menghasilkan karya-karya berunsur Islamik,ada nilai-nilai Islam itu sendiri seolah-olah diketepikan demi memastikan nilai-nilai komersial itu terus kekal menarik perhatian peminat.Bukanlah hamba ini mahu mencari aib pada mana-mana pihak atau menunjuk-nunjuk tetapi coretan ini hanyalah satu teguran yang membina kepada semua.Bukankah kita khalifah-Nya di muka bumi ini yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan?Nabi s.a.w sendiri,kekasih-Nya yang mulia,maksum dari segala dosa,sedia menerima teguran Penguasa Alam ini pabila melakukan kesilapan,inikan pula kita.

Apa yang hambakan maksudkan ini ialah semakin banyak perlakuan bertentangan dengan syariat Allah s.w.t ditayangkan kepada masyarakat di luar sana.Berpegangan tangan antara bukan muhrim,bersalaman dengan wanita bukan muhrim dan berpelukan ialah antara contoh perlakuan ini.Mungkin sesiapa yang berada di sini menegaskan,perlakuan tersebut perlu bagi menggambarkan sesebuah adegan mesra antara pasangan suami isteri atau pasangan kekasih.Hamba merasakan kenyataan tersebut sangat kurang tepat.Bukankah ada cara lain untuk menggambarkan kemesraan mereka,maksud hamba secara simbolik?Bagi hamba,tidak perlulah adegan tersebut dilakonkan.Terlalu janggal dan menimbulkan persepsi kurang baik dalam kalangan masyarakat.Mungkin bagi golongan liberal,ini merupakan satu kebiasaan tetapi bukankah ini juga menimbulkan persepsi kurang baik kepada masyarakat bukan Islam?

Selain itu,menjadi satu trend kepada pengkarya untuk memasukkan adegan panas bertujuan menambah lagi nilai komersial sesebuah filem atau drama.Bagi hamba,ini merupakan satu kesilapan yang cukup besar.Meniru trend sebegini dari filem-filem luar menunjukkan kerendahan kita sebagai sebuah bangsa yang kaya dengan budaya dan adat resam.Bukankah adegan sebegini menjatuhkan maruah seseorang itu sendiri?Mungkin pada pandangan si pelaku,apa yang dilakukan hanyalah sekadar lakonan sahaja namun bagaimana pula persepsi masyarakat it sendiri?Kalau tidak silap hamba,beberapa bulan lepas,pelakon Maya Karin dikecam sekeras-kerasnya hanya kerana mengucapkan rasa syukur selepas melakukan adegan tersebut dengan Aaron Aziz dalam filem Ombak Rindu.Ini disusuli pula dengan kritikan daripada penonton dan pengulas filem yang menyifatkan adegan tersebut mencacatkan naratif filem itu sendiri.Bagi hamba,tepuk dada,tanya selera.Nilai sendiri apa yang hamba perkatakan

Ketiga,kegagalan pengkarya untuk menghasilkan sesebuah karya bermutu yang mengangkat ciri-ciri keislaman dan kebudayaan masyarakat kita hari ini.Hampir setiap minggu,pengkarya seni menyogokkan kita dengan karya-karya yang kurang bermutu berunsur tahyul atau komersial.Mereka mengatakan,penghasilan karya sebegini demi memenuhi citarasa dan kehendak masyarakat itu sendiri.Tetapi,pernahkah terlintas di fikiran bahawa ada sesetengah elemen asing ini sebenarnya mampu menjadi sebuah ancaman kepada akidah dan akhlak kita sendiri?Entah beberapa kali perkara ini dibangkitkan dengan bekas Perdana Menteri kita sendiri berasa muak dengan kebanjiran karya-karya sebegini.Memang benar ada sesetengah karya kurang mendapat sambutan kerana memerlukan penonton untuk berfikir.Tetapi adakalanya,elok juga untuk minda menerima sesuatu yang cukup segar dan bertentangan dengan arus semasa.Ingin hamba memetik kata-kata Dr.Danial Zainal Abidin bahawa kepercayaan kepada khurafat dan tahyul melambangkan kemunduran akal dan kelemahan jiwa seseorang.

Dengan apa yang diperkatakan oleh hamba,ambillah ini sebagai satu teguran yang tidak seberapa.Mungkin apa yang diperkatakan ini mungkin menimbulkan kemarahan tetapi apa yang hamba katakan ini hanyalah sebagai tanggungjawab hamba sebagai seorang Muslim kepada saudaranya yang lain.Seperti apa yang hamba katakan pada awal coretan,hamba hanyalah abdi dengan ilmu yang tidak seberapa pinjaman Ilahi.Menjadi impian hamba juga untuk melihat bangsa dan agama hamba maju ke hadapan,namun biarlah berlandaskan syariat-Nya.