Sebelum berdoa kepada Allah S.W.T,seseorang itu perlulah membersihkan dirinya terlebih dahulu daripada hadas dan najis,baik pada badan,pakaian mahupun tempat berdoa itu sendiri.Sebaiknya,kita digalakkan berada dalam keadaan berwuduk sebelum berdoa.Setelah itu,berdoalah dengan penuh khusyuk,tawadduk dan penuh keyakinan terhadap Allah S.W.T serta menghadap kiblat dan mengamalkan perkara berikut:

1.Berdoa dengan penuh keikhlasan dalam keadaan berwuduk,melutut,bertaubat kepadaNya serta beristighfar.

2.Mulakan doa dengan kalimah memuji kebesaranNya seperti Segala puji bagi Allah.Tuhan sekalian Alam.

3.Mengucapkan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W.

4.Mengangkat kedua belah tangan sehingga ke paras bahu sambil menadah ke langit,menampilkan kehinaan,kelemahan dan kerendahan diri di hadapanNya.Setelah selesai,sapukanlah kedua belah tangan ke muka.Perbuatan menadah tangan itu menunjukkan betapa besarnya harapan kita agar doa kita dimakbulkan oleh Allah.Jangan meletakkan kedua-dua tangan di atas paha,menoleh ke kiri dan kanan atau menindihkan tapak tangan kanan dengan tangan kiri kerana ia dianggap kurang sopan.

5.Sentiasa memohon keampunan buat ibu bapa kita setiap kali berdoa kerana ia merupakan salah satu faktor terkabulnya doa oleh Allah S.W.T.

6.Sentiasa yakin tatkala berdoa bahawasanya Allah akan memperkenankan doa itu.Jangan berdoa dalam keadaan lalai atau keyakinan yang goyah kerana Allah tidak akan memakbulkan doa seperti itu.

7.Hati sentiasa mengingatiNya,berbaik sangka kepadaNya,merendah diri dan khusyuk kepadaNya,merendahkan suara disertai harapan yang tinggi dengan sifat pemurahNya.Hakikat ini disebut dalam ayat 55,Surah al-A’raf mafhumnya,”Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan dengan suara yang lunak.Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas.”

8.Tidak merasa bosan pabila memanjatkan doa kepadaNya.

9.Berdoalah dengan suara yang perlahan dan merendah diri,mengakui kesilapan dan dosa yang pernah dilakukan,baik secara sengaja atau tidak.Ini yang dilakukan oleh Nabi Zakaria tatkala berdoa seperti direkodkan dalam Surah Maryam ayat 2 dan 3.

10.Pabila berdoa,ulanginya sebanyak 3 kali sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W.Dalam satu hadis,Ibnu Mas’ud menceritakan pabila baginda berdoa,baginda sebanyak 3 kali dan pabila meminta,baginda juga meminta sebanyak 3 kali. ( Riwayat Bukhari dan Muslim ).

11.Gunakanlah bahasa yang mudah dan jelas.Sebaiknya,gunakanlah doa yang terkandung di dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W,walaupun bacaannya pendek tetapi maksudnya cukup mendalam dan luas.

12.Islam menegah sama sekali berdoa memohon keburukan,kejahatan,dosa atau perpecahan dalam masyarakat serta memohon sesuatu yang mustahil.Dalam firmanNya dalam Surah Yunus,ayat 11 mafhumnya,”Dan jika Allah menyegerakan bagi manusia keburukan yang mereka minta agar disegerakan sebagaimana mereka meminta kesenangan agar disegerakan,maka binasalah mereka dan tamatnya ajal mereka.”

13.Jangan sesekali berputus asa pabila doa masih belum dikabulkan,sebaliknya hendaklah bersabar dan terus berdoa dengan penuh harapan sambil berserah diri kepada Allah.

14.Mengaminkan doa sendiri mahupun doa orang lain seperti disebut dalam satu hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah r.a,’Pabila salah seorang daripada kamu berdoa,maka hendaklah dia mengaminkan doanya sendiri. ( Riwayat Ibnu’ Adiy )

15.Mengakhiri doa dengan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W dan puji-pujian kepada Yang Maha Esa.

 

Sumber : Majalah i,keluaran Januari 2011