Pabila aku mengorak langkah

tanpa putus ucapan syukur

ku lafazkan pada Yang Esa

kerana masih diberi peluang

masih bernafas dan bernyawa

untuk mengejar sebuah mimpi

 

Pabila aku mengorak langkah

ku lepaskan masa lampauku

tiada guna mengenang kembali

selain mengambil tauladan

untuk perjalanan kan datang

dalam kehangatan sinar suria

aku terus mara

tanpa menoleh ke belakang

berbekalkan sebuah keazaman

berbekalkan sebuah keberanian

berbekalkan sebuah kecekalan

aku berlari

dan terus berlari

mengejar mimpi itu

 

Selama jantungku berdegup

selama itulah aku berlari

walau aku tersungkur

pada pertengahan

perjalanan ini

aku tidak kan mundur

aku tidak kan menyerah

kerana sesungguhnya

peluang ini

hanya sekali sahaja

 

Dengarkanlah sahabat

bahawasanya pertelingkahan itu

hanya membawa kemudaratan

tatkala kita sibuk beradu

dalam sayembara itu

musuh kita ketawa besar

mengenangkan kebodohan

kita sendiri

segalanya diketepikan

demi sebuah kepentingan

yang tidak seberapa

 

Dengarkanlah teman

bebaskanlah dirimu

dari kejumudan

dari kefanatikan itu

kerananya

pemikiranmu bakal terperangkap

dalam kurungan gelap itu

seperti katak dengan dunianya

 

Dengarkanlah sahabat

usah biarkan keresahan itu

menguasai dirimu sepenuhnya

kerana itu hanyalah

permainan mindamu sahaja

sentiasa yakin bahawa

pabila awan mendung itu berlalu

terpancarlah sang mentari

menyinar kembali alam ini

 

Dengarkanlah teman

pabila kita mengorak langkah

biarlah lambat dan cermat

asalkan kita berjaya

mengejar mimpi itu

jangan biarkan naluri

mempengaruhi kita

takut pada akhirnya

sagu hati hanyalah

sebuah kekecewaan

 

Dengarkanlah sahabat

pabila kita sibuk

mengejar mimpi itu

sentiasalah bersangka baik

sentiasalah mengukir senyuman

kerana

tatkala pengejaran ini berterusan

kebencian tiada langsung

menjadi penghalang

 

Pabila aku mengorak langkah

ketahuilah bahawasanya

laluan kita mungkin berbeza

begitu juga dengan

mimpi dan cita-cita

yang tersemat dalam qalbu ini

namun ketahuilah

mungkin pada akhir pengejaran ini

kita bersama

menjulang panji

sebuah kejayaan……