Balqis

kau cukup dikagumi

mengepalai sebuah empayar agung

dikenali kerana kekuasaannya

dikenali kerana kemakmurannya

dikenali kerana kekayaannya

tetapi sayang sekali

kilauan emas dan kekuasaan

mengaburi pertimbanganmu

dengan mudah

kau menolak mentah-mentah

ajakan si hud-hud

menyembah Yang Esa

siapalah dia

jika dibandingkan denganmu

tetapi pada pandanganNya

kau dan hud-hud sama saja

 

Balqis

kau menyangka

hadiah duniawi kirimanmu

mampu memukau Sulaiman

tetapi ternyata kau tersilap

hadiahmu dipulangkan

kerana nikmatNya

jauh lebih besar

dari apa yang ditawarkanmu

nyata saat itu

kau mengagumi kebijaksanaannya

kau mengagumi kerendahan

hati seorang Rasul

 

Balqis

pabila kau berangkat pergi

dengan izinNya

mahligaimu tersergam

di hadapan Sulaiman

sesiapa menatapnya

berasa takjub dan kehairanan

tetapi di mata seorang Rasul

tiada sehebat Yang Esa

 

Balqis

pabila kau berada

di istana Sulaiman

kau menyingkap

labuhan kain itu

enggan membiarkan pakaianmu

dibasahi air itu

hakikatnya

kau terpedaya

dengan kemilauan kaca

istanamu sendiri

saat itulah

kau menyedari kekhilafanmu

bahawa kuasa dan kekayaan

tidak mampu menyaingi

kekuasaan Yang Esa

 

Balqis

kisahmu terus menggamit perhatian

walau masa sudah berubah

namun iktibar kisahmu itu

buatkan insani sentiasa beringat

bahawasanya Penguasa itu

Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu

kesempurnaan pula

biarlah Dia menentukan