Cinta

anugerah yang tak ternilai

kurniaan Penguasa semesta ini

kau ibarat cahaya

menerangi kegelapan sanubari insani

pabila kau muncul

ombak rindu mula bergelora

membuatkan insan tak keruan

 

Cinta

kau tidak pernah meminta

sebarang balasan

namun kau terus memberi

dengan sepenuh rela

walau terpaksa menempuh

ranjau berduri

kebahagiaan menjadi pengubat

duka nestapa

kehadiranmu

mengisi kekosongan qalbu

mententeramkan kegelisahan yang melanda

kehadiranmu

memadamkan api permusuhan

membara sekian lama

kehadiranmu

membibitkan kasih sayang

sesama insani

 

Cinta

pabila kau diiringi

cahaya iman dan lembayung taqwa

kau menjadi rebutan

semua manusia

kerana sesungguhnya

nilaimu lebih berharga

berbanding emas

setinggi gunung Uhud

namun pabila nafsu

dan syaitan mencelah

kau bertukar

menjadi sumpahan keras

kepada sang pengingkar

kau menjadi bayang-bayang

kepada mereka

yang tidak mengetahui

 

Cinta

kau boleh menjadi kunci

mengejar keredhaan Yang Esa

kau ibarat penghubung

insani dengan kekasihNya

Al-Amin dengan keluhuran budinya

kau ibarat pengikat

kasih suci sesama keluarga

seperti

air dicincang tak akan putus

kau ibarat penghubung

jalinan yang sekian lama menghilang

membentuk persaudaraan mantap

tega menghadapi

ranjau perjalanan ini

 

Cinta

sesungguhnya

kaulah anugerah yang terindah

buat semesta ini

kaulah rahmat Ilahi yang terindah